IPOH – Salah faham menjadi punca insiden kekecohan di pekarangan Jabatan Kecemasan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) dekat sini antara sekumpulan individu dan pengawal keselamatan.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, siasatan dijalankan selepas pihaknya mengesan video tular kejadian itu yang berlaku pada pukul 12.20 tengah malam semalam.

Katanya, kekecohan berlaku melibatkan sekumpulan lelaki warga tempatan yang datang ke hospital itu untuk menghantar rakan-rakan mereka yang cedera.


“Bagaimanapun, berlaku perselisihan faham antara individu terbabit dengan pengawal keselamatan hospital dan pihak polis yang tiba di lokasi berjaya mengawal keadaaan.

“Siasatan kes itu dijalankan dibawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.

Video





 
Menurut Mior Farid, selain kejadian di HRPB, pihaknya juga menerima laporan membabitkan kes mendatangkan cedera oleh seorang lelaki warga tempatan menggunakan senjata tajam.

“Dalam kejadian tersebut, tiga individu cedera dan sedang menerima rawatan di HRPB. Punca kejadian dipercayai akibat perselisihan faham antara dua keluarga membabitkan isu percintaan.

“Siasatan kes tersebut dijalankan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera parah,” katanya.

Beliau memberitahu, kedua-dua kes itu merupakan kejadian berasingan namun saling berkaitan.
Terdahulu, beberapa rakaman video tular di media sosial yang memaparkan keadaan kecoh dengan sekumpulan lelaki dilihat menjerit-jerit di pekarangan Jabatan Kecemasan HRPB. – KOSMO! ONLINE

Post a Comment

Ada sebarang soalan berkaitan halaman atau cadangan, sebarang bentuk penulisan serta komen adalah dibawah tanggungjawab dan risiko anda sendiri tertakluk pada Akta 588 SKMM

Terbaru Lebih lama