Malaysia kembali mencatatkan jumlah kes positif COVID-19 melebihi 10,000 ribu kes sejak beberapa hari yang lalu disebabkan penularan varian Omicron yang lebih mudah merebak.

Semalam, kes harian terus melonjak kepada 11,034 kes mengatasi hari sebelumnya iaitu 10,089 kes pada Ahad.

Ini merupakan kes harian tertinggi yang dilaporkan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah dilonggarkan oleh kerajaan bermula Oktober yang lalu.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar atau nama timangan manjanya, ‘KJ’ turut menjangkakan kes jangkitan COVID-19 akan mencecah 15,000 dalam waktu terdekat.

KJ juga memberi gambaran bahawa rakyat Malaysia masih berpeluang untuk menyambut Aidilfitri sekiranya terdapat penurunan kes jangkitan COVID-19 membabitkan varian Omicron dalam masa sebulan dua ini.

“Saya harap kita dapat menstabilkan pandemik ini dalam tempoh sebulan atau dua bulan akan datang. Negara-negara lain mengambil masa sebulan, dua bulan sebelum melihat gelombang Omicron turun.

“Kalau kita mainkan peranan masing-masing, dapatkan dos penggalak dan menggalakkan anak-anak kita (kanak-kanak yang berumur 5 tahun hingga 12 tahun) mendapatkan vaksin… insya-Allah kalau satu atau dua bulan Omicron ini turun, Selamat Hari Raya Aidilfitri,” jelas KJ.

Tangkap layar dari mStar

Menurutnya lagi, peningkatan ini bukanlah sesuatu yang di luar jangkaan kerana Malaysia juga tidak terkecuali seperti negara-negara lain yang kini sedang giat mengekang varian Omicron.

“Situasi ini disebabkan penularan varian Omicron yang lebih mudah merebak. Peningkatan kes juga disaksikan di negara-negara lain di seluruh dunia,” ujarnya lagi.

Orang ramai turut risau dengan situasi peningkatan kes yang agak melampau tinggi ini lebih-lebih lagi memikirkan Ramadan dan Syawal yang bakal kunjung tiba.

Melihat kembali 2 tahun sebelum ini, sambutan Ramadan dan Aidilfitri kurang meriah dan tidak lengkap kerana perlaksanaan PKP di Malaysia.

Bazar Ramadan tertakluk dengan SOP ketat, solat tarawih hanya dibenarkan mengikut kapasiti terhad manakala merentas negeri untuk pulang ke kampung TIDAK DIBENARKAN!

Namun, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini telah pun memberikan jaminan bahawa kerajaan tidak akan melaksanakan kembali PKP dan sekatan untuk pulang ke kampung lagi untuk tahun ini.

Beliau juga berkata, jika kes meningkat di sesuatu kawasan, PKP Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan kerajaan secara bersasar di kawasan terbabit sahaja.

Tangkap layar dari Sinar Harian

Walau bagaimanapun, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pada hari Ahad lalu pula memaklumkan bahawa sekiranya R-Naught jangkitan terus kekal pada kadar 1.2 seperti sekarang, kes harian boleh mencecah 22,000 kes menjelang hujung Mac ini!

Mulai 3 April ini pula, umat Islam akan mula menyambut Ramadan. Untuk tahun ke-3 berturut-turut juga, situasi di Malaysia bertambah buruk ketika menghampiri musim ini dengan jumlah kes yang mencanak naik saban hari.

Timbul persoalan dan kegusaran dari orang ramai, bagaimanalah agaknya sambutan Ramadan dan Aidilfitri kali ini?

Sumber: mStar, Sinar Harian

Post a Comment

Ada sebarang soalan berkaitan halaman atau cadangan, sebarang bentuk penulisan serta komen adalah dibawah tanggungjawab dan risiko anda sendiri tertakluk pada Akta 588 SKMM

Terbaru Lebih lama